28 mac 2011. jam 6.50 petang. tepat. aku dikejutkan dengan deringan telefon bimbit disisi. beserta dengan seribu miss call, suara ayah aku seakan membisik perlahan, "nenek dah takde, cepat bersiap,nanti abah ambil kau"... tiada kedengaran lagi suara di hujung telefon. seakan kehabisan daya untuk bercakap. dan aku seakan kehabisan daya untuk mendengar. bingung sekejap. seakan susah nak menerima. "nenek dah takde". biarpun sehari sebelum aku sudah menziarahi yang dalam keadaan tidak sedar akibat jatuh di dalam tandas. bukan sekali dia jatuh. tapi jatuhan kali ini benar-benar besar impaknya. nenek tidak sedarkan diri dan diserang stroke. separuh bahagian badan lumpuh. abah aku bercerita ketika kami pulang yang tangan kanan nenek tidak seperti mahu melepaskan genggaman abah. semahu-mahunya digenggam. dan petang itu, abah sekali lagi bersama adik-adik aku menziarahi nenek. masih tiada perubahan. nenek hanya mampu mengenggam tangan abah. semahu-mahunya. pada besoknya, abah memanggil doktor untuk memeriksa nenek. ternyata, nenek hanya menunggu masa. benar seperti firman Allah:
“Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengenal apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al Munafiqun: Ayat 11).
nenek menghembus nafas terakhir pada petang itu. bukan sekejap nenek tinggal dengan kami. hampir dua tahun kami menjaga nenek secara bergilir. nenek hanya punya dua zuriat iaitu abah dan paklong. secara bergilir, kami menjaga nenek. dan aku faham, menjaga mereka yang dihujung hayat bukan mudah. mahal harga untuk mereka dapatkan perhatian anak-anak. masih terbayang bagaimana nenek meragam dengan menyidai tuala basah di tv lcd, dan sering mengetuk pintu bilik kami pada waktu malam. dan banyak lagi perkara yang aku yakin memang dalam rencana Allah dalam menguji kesabaran hambaNya. dan didalam dua tahun itu memang nenek banyak menangis. aku terkadang simpati melihat dia seakan-akan hilang punca. tetapi aku sering juga melihat dia tersenyum digurau adik bongsuku. sering menyumpah selepas dimandi abah. ada suka, lebih duka. dan aku yakin saat ini tubuhnya lebih mesra dan nyaman dipangku tanah. berehatlah semahunya nenek. dan dihari pengkebumian, aku sempat menatap dan mengucup nenek dipipi dan didahi. yang semasa hidupnya aku rasa jauh untuk berlaku sedemikian. sekadar salam dan mengucup tangan. mungkin nikmat mencium nenek semasa hayatnya lebih nikmat dari sekadar mencium dahi dan pipi yang sejuk. sesejuk hati aku tidak mahu mencium pipi dan dahi nenek ketika hayatnya. dan tatkala wajah nenek dikambus tanah, pipi aku sudah ditimbus air mata. entah dari mata hati atau apa buat aku rasa amat sayu. rasa mahu aku berlari kehari belakang menghabiskan masa bersama nenek. dari situ aku belajar menerima suratan Allah,
“Orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan pelbagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya. Dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayahNya.2:156,157
moga roh nenek dicucuri rahmat, dan Al-Fatihah
buat nenek.berehatlah:)





